Search for a command to run...
Kehidupan selepas pembebasan dari penjara sering kali menjadi fasa yang paling mencabar bagi bekas banduan, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan keluarga, peluang pekerjaan atau jaringan sosial yang kukuh. Ketidakmampuan menyesuaikan diri dengan tuntutan hidup di luar tembok penjara menyebabkan ramai dalam kalangan mereka akhirnya hidup di jalanan dan terperangkap dalam kitaran sosial yang tidak stabil. Kajian ini dijalankan bagi memahami pengalaman hidup serta cabaran yang dihadapi oleh bekas banduan yang mengalami pengulangan kesalahan, khususnya mereka yang berada di sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Menggunakan pendekatan kualitatif, seramai tiga orang bekas banduan ditemu bual secara mendalam. Pemilihan informan dibuat melalui teknik persampelan purposif berdasarkan kriteria tertentu, iaitu berstatus bekas banduan, mempunyai rekod jenayah berulang, warganegara Malaysia, dan tidak mengalami sebarang penyakit mental yang menghalang proses temu bual. Dapatan kajian ini mendedahkan tiga tema utama yang mempengaruhi kelangsungan hidup mereka selepas pembebasan. Tema pertama berkaitan hubungan kekeluargaan yang sering renggang dan dipenuhi rasa rindu, namun dalam masa yang sama menjadi sumber motivasi untuk berubah. Tema kedua menyentuh isu ketagihan dadah dan kitaran jenayah yang saling memperkukuh antara satu sama lain, menjadikan proses pemulihan lebih sukar. Tema ketiga pula merangkumi halangan integrasi semula ke dalam masyarakat, khususnya dari segi kesukaran mendapatkan pekerjaan akibat rekod jenayah serta stigma masyarakat terhadap bekas banduan. Kesemua faktor ini menunjukkan bahawa pembebasan dari penjara bukan jaminan kepada kehidupan yang lebih baik sekiranya tiada sokongan yang holistik. Oleh itu, hanya melalui gabungan strategi pencegahan, intervensi sosial, pemerkasaan ekonomi dan program pemulihan berterusan, kadar jenayah berulang dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Published in: International Journal of Law Government and Communication
Volume 10, Issue 42, pp. 272-272